Thursday, August 20, 2009

RAMADAN DAN SAINS


(Artikel ini diterbitkan Majalah Kosmik DBP, bulan September 2008): Selepas ibadah solat yang merupakan rukun Islam yang kedua, umat Islam diwajibkan melaksanakan rukun Islam yang ketiga, iaitu berpuasa di musim Ramadan. Perintah ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, "Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelummu semoga kamu bertakwa."

Umat manusia sebelum ini telah pun mengamalkan puasa dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh penganut agama Hindu berpuasa dan puasa mereka dalam bahasa Sanskrit dikenali sebagai upavaasa. Golongan Yahudi berpuasa pada hari Yom Kippur. Mengikut kitab Perjanjian Lama dalam bab Exodus 34:28, Nabi Musa bermunajat kepada Tuhan selama 40 hari dalam keadaan "tidak menjamah roti dan air." Bagi penganut Kristian Roman Katolik pula musim berpuasa dikenali sebagai Lent. Dalam kitab Perjanjian Baru dalam bab Matthew 4:2 dan Luke 4:2, Nabi Isa dilaporkan berpuasa selama 40 hari 40 malam.

Dalam Islam, puasa bermaksud menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Secara dasarnya, puasa mempunyai beberapa kategori, pertama, puasa wajib sebagai contoh puasa kifarat, puasa nazar dan puasa Ramadan. Kedua, puasa sunat, seperti puasa enam hari pada bulan Syawal, puasa hari Arafah, hari Asyura pada 10 Muharam dan yang seumpamanya. Ketiga, puasa makruh, iaitu puasa yang dilakukan secara terus menerus pada sepanjang masa, kecuali pada sambutan dua hari raya dan hari-hari tasyrik. Keempat, puasa yang haram dilakukan, iaitu puasa pada hari pertama sambutan Aidilfitri, hari pertama sambutan raya Haji dan tiga hari tasyrik iaitu pada tanggal 11,12 dan 13 Zulhijah.

Ramadan merupakan satu bulan yang mulia. Umat Islam diwajibkan berpuasa di bulan ini justeru ia boleh dianggap sebagai satu Bulan Latihan dan Pendidikan. Dalam bulan inilah al-Quran diturunkan ke langit dunia sebelum diturunkan kepada nabi secara berperingkat-peringkat (rujukan: al-Asas fit Tafsir, Said Hawa). Allah berfirman, "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) pada bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (Al-Baqarah: 185)

Hukum-hukum Puasa

Puasa di bulan Ramadan diwajibkan ke atas umat Islam bermula pada tahun ke-2 Hijrah dan ia wajib dilakukan selama sebulan. Sesiapa saja dari kalangan Muslim yang berakal (tidak gila), mencapai umur baligh (cukup umur) serta kuat lagi sihat wajib berpuasa.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, an-Nasa'i dan Baihaqi, nabi bersabda, "Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah memfardukan ke atasmu berpuasa dalamnya. Sepanjang bulan Ramadan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan..."

Seperti ibadah-ibadah yang lain puasa mempunyai rukun-rukunnya. Rukun-rukun itu ialah, pertama, berniat pada malam hari (antara maghrib dan subuh) dan kedua, menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Antara perkara yang boleh membatalkan puasa Ramadan ialah:

* Makan dan minum dengan sengaja di siang hari (dimaafkan jika seseorang melakukannya kerana terlupa).
* Muntah dengan sengaja (dimaafkan jika ia berlaku secara tidak sengaja).
* Mengeluarkan air mani pada siang harinya, contohnya melalui perbuatan onani. Jika air mani keluar kerana bermimpi ia tidak membatalkan puasa.
* Gila.
* Bersetubuh dengan perempuan di siang hari.
* Wanita yang datang darah haid atau nifas.

Islam tidak membebankan umatnya dengan sesuatu yang mereka tidak mampu lakukan. Berhubung dengan ini Allah berfirman, "(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka) kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang ditentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui." (al-Baqarah ayat 184)

Justeru golongan tertentu yang keuzuran diizinkan untuk tidak berpuasa di musim Ramadan. Mereka ialah:

* Orang yang sakit.
* Orang yang dalam perjalanan jauh melebihi 53 batu atau 85 km (Rujukan: Fatwa Sheikh Atiyyah Saqr, Islamonline.net, 2/10/06).
* Orang tua yang lemah
* Wanita yang hamil atau yang menyusukan anak.

Mereka yang tidak berpuasa tanpa keuzuran telah melakukan satu dosa besar. Berhubung dengan ini Nabi bersabda, "Sesiapa berbuka puasa satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu sekalipun dia berpuasa seumur hidup." (Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Takwa Itulah Matlamat

Puasa ada matlamatnya. Dalam surah al-Baqarah ayat 183 Allah berfirman, "Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelummu semoga kamu bertakwa." Dalam ayat ini dinyatakan dengan jelas tentang matlamat berpuasa iaitu, untuk mencapai status takwa. Mengapakah takwa menjadi matlamat dan tidak perkara-perkara yang lain?

Sebenarnya orang yang bertakwa merupakan orang kelas pertama yang tidak ada tolok bandingannya. Dia tidak akan menipu, tidak akan memberi dan menerima rasuah, tidak akan menyalahgunakan kuasa, tidak berbohong, tidak mencuri, berzina, merogol, membunuh, memaki hamun, bertindak zalim dan sebagainya. Dia adalah insan yang paling mulia. Berhubung dengan ini dalam surah al-Hujurat ayat 13 Allah berfirman, "Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa antara kamu."

Takwa merupakan kekuatan dalaman yang hebat lagi unik. Ledakannya mampu mengukir sejarah baru di dunia. Sahabat Omar al-Khattab pernah bertanya kepada sahabat Ubai bin Kaab tentang maksud takwa. Ubai berkata, "Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?" Jawab Omar, "Ya, pernah." Ubai bertanya lagi, "Apa yang kamu lakukan ketika itu?" Omar berkata, "Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh (syammartu wajtahadtu)." Berkata Ubai, "Itulah takwa." Dari jawapan Ubai bin Kaab ini dapatlah difahami bahawa takwa bermaksud "berhati-hati dalam hidup agar tidak melakukan sesuatu yang haram serta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap amal ibadah yang dituntut" (rujukan: Tafsirul Quranil Azim, Ibn Kathir).

Sahabat Abdullah ibn Masud mentafsirkan "sebenar-benar takwa" sebagai "melaksanakan taat tidak bermaksiat, sentiasa mengingati-Nya dan tidak alpa serta sentiasa bersyukur dan tidak kufur" (rujukan: al-Asas fit Tafsir, Said Hawa). Kemuncak kepada takwa ialah berhati-hati terhadap perkara yang harus kerana kadangkala apabila seseorang tenggelam dalam kelazatan yang diharuskan, dia lupa daratan. Ketika itu berkemungkinan dia akan terjebak dalam kemaksiatan. Sebagai contoh, jika seseorang bercakap terlalu banyak walaupun tentang perkara yang harus, dikhuatiri akhirnya dia mengatakan sesuatu yang haram seperti mengumpat. Demikian juga jika seseorang asyik berbelanja walaupun pada perkara yang harus, dia akhirnya akan mengabaikan hak mereka yang memerlukan. Berhubung dengan ini Nabi bersabda, "Seseorang tidak akan sampai ke makam takwa sehingga dia meninggalkan sesuatu yang harus kerana ingin menjaga dirinya dari sesuatu yang dilarang." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Ibn Majah dan mengikut Tirmizi, hadis ini bertaraf hasan gharib.



Tidak kesemua mereka yang beriman bertakwa kepada Allah. Justeru, dalam surah Ali Imran ayat 102-103, Allah mengarahkan mereka yang beriman agar bertakwa melalui firman-Nya, "Wahai mereka yang beriman bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam." Puasa dapat membantu mereka yang beriman mencapai status takwa ini.



Adab-adab Berpuasa Ramadan

Latihan dan pendidikan yang terdapat di dalam Ramadan tidak akan menghasilkan takwa melainkan jika adab-adabnya dijaga dan dipelihara. Antara adab-adab itu ialah:

1- Berbuka dengan kurma dan air serta tidak berlebihan dengan makan minum. Anas bin Malik meriwayatkan, "Rasulullah berbuka dengan memakan beberapa ruthaab (iaitu kurma basah) sebelum solat, kalau tidak ada kurma basah maka baginda berbuka dengan kurma kering, kalau tidak ada maka dengan meneguk air beberapa teguk." (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)

2- Bersegera berbuka puasa. Nabi bersabda, "Manusia berada dalam keadaan baik selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3- Bersahur di pagi hari dan melewatkan pengambilannya. Nabi bersabda, "Makanlah sahur kerana sesungguhnya pada sahur itu ada berkat." (Riwayat Bukhari) Zaid bin Thabit pula menceritakan, "Kami pernah bersahur bersama nabi kemudian kami bangun untuk melakukan solat (subuh)." Kemudian Zaid bin Thabit disoal, "Berapa lama masa antara keduanya (yakni antara makan sahur dan solat subuh)?" Berkata Zaid, "Sekadar membaca 50 ayat Al-Quran." (Riwayat Bukhari)

4- Bersikap dermawan. Abdullah Ibn Abbas meriwayatkan, "Adalah Rasulullah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan." (Riwayat Bukhari)

5- Bertadarus al-Quran secara konsisten. Abdullah Ibn Abbas meriwayatkan, "Jibrail menemui Nabi pada setiap malam Ramadan untuk bertadarus al-Quran, dan Rasulullah ketika itu lebih cepat mengerjakan kebaikan, lebih cepat daripada angin yang berhembus." (Riwayat Bukhari)

6- Melaksanakan solat tarawih. Nabi bersabda, "Barang siapa yang
menghidupkan malam-malam Ramadan karena beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni dosanya yang telah lalu." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Diriwayatkan daripada Abu Salamah bin Abdur Rahman, sesungguhnya dia telah bertanya kepada Aisyah, "Bagaimana salat malam Rasulullah di bulan Ramadan? Aisyah menjawab, "Rasulullah tidak pernah melakukan salat malam lebih daripada sebelas rakaat baik di bulan Ramadan ataupun di bulan-bulan yang lain..." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

7- Beriktikaf terutama pada 10 terakhir Ramadan. Diriwayatkan daripada Aisyah, "Adalah Rasulullah mengamalkan iktikaf pada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadan sehinggalah baginda wafat." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

8- Mengejar Lailatulqadar. Nabi bersabda, "Berusahalah untuk mencari lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Pada ketika itu Nabi menyuruh umatnya memperbanyakkan bacaan doa yang bermaksud, "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Engkau sukakan kemaafan maka ampunlah dosa-dosaku." (Riwayat Tirmizi - Hasan Sahih)

9- Mengawal nafsu, mengelokkan perangai serta memelihara lidah. Nabi bersabda, "Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dan amalan keji, maka tidak ada bagi Allah hajat (untuk menerima) amalannya meninggalkan makan dan minum." (Riwayat Bukhari)

10- Merangsang keluarga agar beramal salih. Aisyah meriwayatkan, "Sesungguhnya Nabi apabila memasuki sepuluh hari terakhir di bulan Ramadan benar-benar menghidupkan malam (untuk beribadah) dan membangunkan isteri-isterinya (agar beribadah) dan baginda menguatkan ikatan sarungnya (iaitu tidak menggauli isteri-isterinya)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

11- Melaksanakan tanggungjawab sosial iaitu mengeluarkan zakat fitrah. Abdullah ibn Omar berkata, "Rasulullah mewajibkan zakat fitrah satu sha' kurma atau satu sha' syair ke atas budak, orang yang merdeka, laki-laki, wanita, anak-anak dan orang tua dari kalangan Muslimin, dan baginda memerintahkan agar (zakat tersebut) dikeluarkan sebelum manusia keluar untuk melaksanakan solat Aidilfitri." (Riwayat Bukhari)

Mengeluarkan zakat fitrah merupakan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan di musim Ramadan. Ia difardukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Mereka yang dikenakan zakat itu ialah:

1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau harta melebihi keperluannya serta tanggungannya untuk malam dan pagi hari Ramadan.
2. Anak yang lahir sebelum matahari terbenam pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.
3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan keislamannya.
4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari di akhir Ramadan.
sumber:

No comments:

Post a Comment